Wednesday, December 31, 2008

Beli ikan dulu, cikgu...

Saya paling risau kalau turun ke pasar ikan atau pasar sayur atau gerai jual beras. Kenapa? Kerana para penjual minta beli jualan mereka. Susah untuk memenuhi semua permintaan orang bukan? Inilah penyakit besar dalam diri saya - SUKAR MENYATAKAN TIDAK, DAN SANGAT PAYAH UNTUK MENOLAK PERMINTAAN...

Tadi pagi saya ke pasar ikan. Masuk-masuk saja, penjual terus cakap : "pomoli po sadaku oi igu" (Bahasa Dusun Tandek bermaksud: beli ikan saya dulu, cikgu!)...saya terus tengok kiri-kanan. Pakcik-pakcik (dari suku kaum Bajau, Marudu Laut) menengok-nengok saja.
"Bah, ini kali saya beli sama dorang...lain kali tempat pakcik. Ok bah kan?" kata saya.
"Ok bah cikgu..."

Maka saya pun belilah dua kilo ikan dan sekilo ketam suri. Saya tengok ikan itu sudah kurang segarnya tapi saya segaja tidak periksa insangnya takut si penjual malu.
Sampai rumah isteri merungut sebab ikan kurang segar.
"Tiada ikan segar di pasar sekarang..." jawab saya membuat muslihat. Saya tidak berdusta kerana "sekarang" yang saya maksudkan adalah masa di mana saya berada di rumah dan bukannya masa saya di pasar tadi...

Sebenarnya saya kasihan dengan penjual ikan berbangsa Dusun itu. Bukan kerana aku berbangsa Dusun. Kerana saya tahu beliau bukan nelayan. Beliau hanya membeli dari nelayan dan mencuba bersaing dengan para nelayan di pasar. Bayangkan kalau saya tidak beli?....

BOLEHKAN ANDA MEMBAYANGKAN?....