Sunday, May 17, 2009

BUKAN SALAH PELAJAR INI!

Minggu lepas, pendaftaran pelajar tingkatan enam rendah sesi 2009. Saya didatangi seorang pelajar cemerlang yang tidak mendapat tawaran. Setelah disiasat, saya merasakan sebabnya ialah kerana umurnya sudah +20 tahun. Saya syorkan beliau membuat rayuan berserta dengan surat tunjuk sebab mengapa jadi begitu.

Menurut pelajar tersebut, dia lewat bersekolah atas beberapa sebab. Pertama, ketidakprihatinan ibu-bapa. Maklumlah mentaliti orang bukit-bukit. Kedua, sekolah rendah di kampungnya ketika itu (ketika umurnya 7 tahun) menghadapi masalah "kebantutan", maksud saya seperti tidak wujud, sehinggakan urusan pendaftaran tergendala (?).

Dipendekkan cerita, saya suruh dia tulis surat ceritakan segalanya. Dan saya sendiri menulis surat khas kepada pihak atasan meminta kes pelajar ini diberi perhatian khas. "Bukan salah pelajar ini dan beliau harus diberi keistimewaan khas..." lebih kurang bunyi surat saya.

Hmm, kes-kes beginilah yang boleh membuat inderaku terluka...

Sunday, January 11, 2009

"SAMPAPAS"... (SEBELAH/SEPARUH...)

"Sampapas" merupakan "piowitan" (terjemahannya dalam bahasa Melayu sangat sukar tapi lebih kurang nama timang-timangan antara dua/lebih individu yang sama-sama terlibat mencipta nama tersebut berdasarkan sesuatu cerita/kejadian/perkara yang bermakna/unik/menarik).

Orang-orang dusun khususnya Dusun Kimragang Tandek, sangat suka menggunakan "piowitan". Ada sesuatu yang mnyentuh sukmaku hingga saat ini tentang "piowitan" ini. Ceritanya begini:

Kelmarin, saya tiba-tiba terdetik untuk bertanya kepada ayah saya, mengapa "piowitan" yang mereka guna bersama mendiang Sawatan B. Pangayas (Badang Kimaragang Tandek) ialah - "SAMPAPAS"?
Menurut ayah saya, dia dan mendiang sangat akrab suatu ketika dahulu. Mereka ada suatu barang (?) yang sama-sama diminati, dan mungkin kerana barang itu cukup terhad dari segi saiz, maka merekapun membelah (dalam bahasa Kimaragang - minipudung). Maka seorang dapat separuh (dalam bahasa Kimaragang - SAMPAPAS)...

Saya masih ingat keakraban mereka. Masa itu saya masih kanak-kanak. Kadang-kadang bapa bawa saya bertandang ke rumah mendiang, dan kadang-kadang mendiang yang bertandang ke rumah bapa.

Baru-baru ini..."Badang Tandek" kembali ke rahmatullah. Bapa kehilangan seorang rakan akrab suatu ketika dahulu. Meskipun dalam keadaan tidak sihat, bapa gagahi jua untuk memberi penghormatan terakhir kepada seorang insan budiman yang dipanggilnya - "SAMPAPAS"...

Keakraban itulah yang membuat saya terharu...
INDERALUKA.
(Bukan luka yang sakit. Luka luar biasa - yang mengalir bukan darah merah, tapi air mata dalam hatiku...bahkan di mataku...)

Wednesday, January 7, 2009

BUKAN AKU TIDAK MENGASIHIMU...


(Kempen Paparkan Gambar-Gambar Berkaitan Keganasan Israil Dalam Laman Web/Blog Anda. Jika ini pun kita gagal lakukan...USAHLAH BERCAKAP TENTANG PERJUANGAN JIHAD DAN SEBAGAINYA...)
Dalam laman blog utamaku SUARA ORANG SABAH (SOS), sangat jarang aku bicara tentang Palestin. Barangkali ada pembaca menyangka bahawa aku tidak buka minda keluar dari ruang angkasa Sabah dan Malaysia. Mungkin ada yang sangka aku tidak mengasihi saudara-saudara kita di Palestin.

Tidak. Sesungguhnya sudah sekian lama aku menyimpan rasa. Berbagai rasa. Marah...sedih...sayu...geram...hairan...dan sebagainya. Sesungguhnya inderaku terluka sejak dahulu...DAN aku memikirkan untung nasib kaum muslimin sedunia bukan baru hari ini!...

Banyak yang ingin dan boleh kutulis atau kulukis. Kemarahan pun bisa aku lontarkan kalau turutkan hati. Namun apa gunanya sekadar marah-marah dan bising-bising. Bangsa Israil adalah bangsa yang jumud, keras hati, kuat pendirian dan ego. Tidak akan berkesan suara-suara bising dan lontaran batu...

Aku jua ikut menangis. Aku jua turut berdoa.
Dan sesuatu yang pasti....
Sekiranya aku berada di bumi Palestin , sudah barang tentu...
AKU TIDAK SETAKAT DUDUK MENGHADAP LAPTOP!

Sunday, January 4, 2009

MURID YANG BAIKKK....

(Gambar: Hadiah tahun baru dari bekas anak murid saya)


Baru tadi saya berkesempatan buka e-mail. Bertimbun e-mail yang belum dibaca. Ada satu e-mail dari bekas anak murid saya - LT.M MUSLI JAAFAR. Bila saya buka, saya terkejut bila ada hadiah sempena tahun baru berupa "banner' atau "header" untuk blog saya "SOS" (Suara Orang Sabah).

Mungkin beliau kasihan tengok header saya yang tak berapa canggih sedangkan isi-isinya kira canggih juga? Apapun sebabnya, saya sesungguhnya AMAT TERSENTUH HATI. Inilah sebabnya saya tulis artikel ini dalam blog -INDERALUKA.

Hmm....saya tidak terluka bahkan terubat! Kerana sebagai guru yang dah ambang veteran, bukan semua anak murid pandai ingat gurunya. Kadang-kadang....ada juga anak-anak murid yang....

Sebenarnya, dalam hidup ini, sangat tidak rugi kalau kita berbuat bakti kepada orang lain, hatta orang yang tidak dikenali sekalipun. Belakang kiralah pahala, sebab itu nanti baru dapat, yang seronoknya ialah - PERASAAN GEMBIRA DALAM HATI KERANA DAPAT MEMBUAT ORANG GEMBIRA. Bagi saya, inilah yang mendorong saya berjuang secara kecil-kecilan. Inilah yang memotivasikan saya membuat sehingga 7 blog setakat ini. - untuk mendewasakan manusia, menghidupkan yang hidup dan yang "mati" jiwa mindanya, memerdekakan yang terjajah, mengubati yang sakit dan sebagainya...

HMM....saya gembira sekali malam, opsss pagi ini (01:03 am).
Terima kasih kepada yang membuat saya gembira!

Friday, January 2, 2009

SMS BANJIRRR...

Hmm...saya menerima beberapa sms dari saudara mara di kampung (di Tandek, Kota Marudu). Di Beliajung/ Taritipan, beberapa rumah ditenggalami air banjir. Di Tingkalanon air sungai naik sampai paras lantai rumah. Di Mosolog, dikatakan inilah banjir paling besar mereka pernah alami. Di Damai pun dalam, dan mengakibatkan jalan perhubungan tidak dapat dilalui. Jalan sebelah Morion juga terjejas. Ini bermakna penduduk di beberapa buah kampung "terkurung" dan tidak boleh keluar ke pekan Kota Marudu.

Teringat pula zaman kanak-kanak/remaja. Terpaksa meredah air banjir untuk ke sekolah atau pulang dari asrama. Semangat belajar meluap-luap bukan macam anak-anak sekarang. Anak sekarang sudahlah "kecil jiwa", penakut dan manja lagi.

Teringat pula kaum kerabat yang terkurung di kampung-kampung. Bagaimana kalau tiba-tiba ada yang sakit perut mahu bersalin? Kehabisan bekalan beras? sakit memererlukan rawatan. Lusa, budak-budak mau pergi sekolah sudah. Dalam keadaan banjir begini, seharusnya ada tindakan serta merta daripada pihak berwajib.

Hmm...kalaulah ini berlaku di semenanjung, sudah barang tentu sudah masuk dalam RTM atau TV3. Adakah kerana pemimpin di sana lebih proaktif atau sememangnya di sana memang telah jauh ke depan meninggalkan kita...atau...memang kita dibelakangkan?....

INDERAKU TERLUKA....

Seorang Ibu Di Tengah Panas...

Beberapa bulan lepas, setiap balik dari pejabat, saya lihat ibu muda itu mendukung bayinya sambil berpayung. Dia menjual (menjaga jualan) jagung muda. Aku yang pernah bermain dengan keringat dan terik mentari dengan cepat dapat menyelami degup jantung dan keperitan ibu muda itu.

Kalau kita yang bergaji agak lumayan ini, tentu tidak lagi menyanggupi kerja seperti itu. Sedangkan berdiri di tepi jalan untuk menunggu bas pun barangkali berfikir panjang gara-gara rasa malu?

Sayang sekali aku seringkali gagal mengambil gambar ibu muda itu. InsyaAllah...kalau berpeluang, akan saya ambil dan paparkan dalam laman ini.

Demikianlah hidup ini...jika kita pernah merasai sendiri, maka mudah bagi kita merasai perasaan orang lain yang merasa...

Thursday, January 1, 2009

APA ITU "INDERALUKA"

Indera adalah singkatan kepada pancaindera. Blog ini berkonsepkan diari harian khas untuk saya paparkan apa-apa jua yang terlihat, terdengar, tercium, terasa dan terfikir yang bersifat sedih dan melukakan hati yang harus diambil perhatian.

Blog ini saya hasilkan sempena pertukaran tahun 2008 kepada 2009.